Apa Itu Deep Web dan Dark Web

0

Ramai pernah mendengar dua istilah ini. Deep Web dan Dark Web. Apa sebenarnya dua benda ini? Adakah ia sama? Adakah ia bahaya, penuh dengan benda jahat?

Apa Itu Deep Web?

Deep web juga dikenali sebagai Deepnet, Invisible web, Hidden web, adalah sebahagian daripada kandungan di dalam rangkaian internet tetapi kandungannya tidak dapat di-indeks oleh enjin carian seperti Google. Jadi kandungannya tidak akan tersenarai di halaman keputusan carian Google jika anda mencari sesuatu. Kerana itu juga ia dipanggil invisible.

Banyak sebab kenapa enjin carian tidak dapat mengindeks sesebuah laman web atau kandungan tertentu. Antaranya halaman tersembunyi web tersebut memerlukan log masuk akaun terlebih dahulu sebelum dapat diakses. Sebab lain ialah, rangkaian web tersebut disulitkan (encrypted) atau sengaja dihalang akses kepada enjin carian.

Tahukah anda, anda sudah pun gunakan Deep Web tanpa disedari?

Laman web yang kandungannya memerlukan input daripada pengguna, log masuk akaun, kandungan yang perlukan langganan seperti berita/buku digital atas talian dan pelbagai lagi jenis web yang enjin carian tidak dapat akses kandungannya, dikategorikan sebagai Deep Web.

Contoh web yang tidak dapat diakses enjin carian, tetapi pengguna biasa boleh akses:

  • Semakan daftar pengundi SPR dan status Imigresen – perlukan input daripada pengguna
  • Penyata bank anda – pelukan log masuk akaun
  • Portal e-Learning (Udemy, Lynda.com etc) – perlukan langganan / akses berbayar

Semua contoh di atas ialah Deep Web. Dari sini anda mungkin sudah boleh beri contoh-contoh lain Deep Web kan? Jadi mari kita teruskan bacaan.

Apa Itu Dark Web?

Dark Web ialah sebahagian daripada Deep Web kerana kandungannya juga tidak boleh diakses oleh enjin carian.

Tetapi perbezaan yang paling utama ialah, Dark Web berada dalam rangkaian sulit (encrypted network). Sambungan di antara pengguna dan host disulitkan melalui beberapa lapisan pelayan dan rangkaian sulit. Cara sambungan ini sangat selamat menyembunyikan identiti dan lokasi pengguna dan pemilik web tersebut. Perisian atau pelayar web khas diperlukan untuk mengaksesnya.

Disebabkan kelebihan inilah (sembunyi identiti), Dark Web banyak digunakan untuk aktiviti yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang. Seperti penjualan dadah, senjata api dan lain-lain perkara yang tidak sanggup saya sebutkan. Inidividu tersebut tidak risau akan jejaknya dikesan.

Dark Web juga digunakan untuk tujuan menyebarkan rahsia sulit seperti kandungan Wikileaks, menyampaikan pendapat/ideologi yang bertentangan dengan kerajaan atau pemerintah sesuatu negara, berhubung dengan dunia luar jika akses di negaranya dihalang dan lain-lain.

Amaran : Kandungan Dark Web adalah sesuatu yang pengguna biasa perlu elakkan. Ramai juga pengguna yang dilaporkan terkena sesuatu selepas cuba melayari Dark Web. Antaranya kecurian identiti, troll yang luar biasa seperti Polis menyerbu rumah kerana dianggap sedang membuat jenayah atas talian tetapi sebenarnya salah lokasi/rumah, mungkin beratus-ratus Pizza akan dihantar ke rumah anda atau menerima panggilan gangguan/seksual orang yang tidak dikenali.

Ini boleh terjadi apabila Dark Web tersebut disertakan dengan kod jahat (malicious) untuk mendedahkan identiti dan lokasi anda. Penipuan secara phishing juga banyak untuk mencuri maklumat anda.

Jadi lebih baik elakkan. Disebabkan itu saya tidak sertakan panduan cara mengakses ke Dark Web. Cukup sekadar untuk kita faham apakah ia. Jika anda perlu mencari sesuatu, Google sudah memadai 🙂

 

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: