Apa Itu Incognito, Private Mode Dan Salah Faham Tentangnya

0

Incognito atau Private browsing (kita rujuk sebagai Private Mode selepas ini) adalah salah satu cara untuk melindungi jejak selepas melayari internet.

Jika anda melayari sesuatu laman web menggunakan private mode di sesebuah pelayar web, sejarah laman web, senarai muat turun, kekunci carian dan cookies akan hilang sebaik sahaja anda menutup tetingkap pelayar web tersebut. Semua maklumat tersebut akan dibuang untuk menjaga privasi anda.

Sebagai contoh, jika anda log masuk ke akaun Facebook menggunakan pelayar web tanpa private mode, apabila anda tutup sebentar dan buka semula pelayar web tersebut, Facebook anda masih boleh dilayari tanpa perlu log masuk semula.

Berbeza dengan private mode, selepas anda tutup dan buka semula pelayar web, akaun Facebook anda sudah terkeluar dan perlu log masuk semula.

Senarai di bawah menunjukkan nama untuk Private Mode mengikut pelayar web:

  • Google Chrome – Incognito
  • Mozilla – Private Browsing
  • Opera – Private Browsing
  • Internet Explorer – InPrivate Browsing
  • Microsoft Edge – InPrivate Mode
  • Safari – Private Browsing

Cara Guna Private Mode
Untuk menggunakan private mode di pelayar web anda, klik pada menu File, seterusnya klik menu seperti yang dinyatakan di atas.

Bila sesuai gunakan Private Mode / Incognito ?

  • Tidak mahu orang lain melihat history pelayar web anda. Tidak perlu bersihkan history selepas gunakan private mode. 🙂
  • Jika anda meminjam komputer orang lain atau gunakan komputer yang dikongsi seperti di perpustakaan atau makmal komputer, private mode sesuai untuk elakkan anda mungkin terlupa logout atau bersihkan history.
  • Log masuk beberapa akaun di pelayar web yang sama. Jika anda miliki 2 akaun Gmail, dan mahu akses keduanya menggunakan pelayar web yang sama, contohnya Google Chrome, log masuk akaun pertama melalui cara biasa, dan log masuk akaun ke 2 melalui private mode.
  • Mengurangkan maklumat yang disimpan pelayar web seperti maklumat yang di isi di borang atas talian, kata kunci carian dan sebagainya.
  • Sesetengah enjin carian seperti di Google, ia ada algorithm yang mempengaruhi aktiviti carian anda yang sebelumnya, gunakan private mode, carian anda untuk dapat keputusan carian yang fresh.
  • Jika anda membina atau kerap menguji laman web, anda mungkin biasa dengan istilah “clear cookies“. Guna private mode supaya tidak perlu membuatnya berulang kali.

 

Salah Faham Berkenaan Private Mode / Incognito

Private Mode tidak sembunyikan identiti dan dan lokasi anda

Ingat, private mode hanya hilangkan jejak selepas anda selesai dan menutup pelayar web, ia tidak sembunyikan jejak, alamat IP, lokasi anda semasa menggunakannya.

Sebagai contoh cuba klik pautan di bawah ini, kemudian gunakan private mode dan layari pautan yang sama. Kedua-duanya mendedahkan lokasi dan maklumat yang sama tentang anda.

http://www.ip2location.com/

Aktiviti anda masih boleh dipantau

Setiap aktiviti yang anda lakukan melalui Private mode masih melalui rangkaian internet seperti biasa. Setiap laman web yang anda layari tidak tersembunyi. Jadi pihak-pihak tertentu boleh mengesan aktiviti anda. ISP (internet service provider) seperi Telekom Malaysia, pihak pengurusan tempat kerja, atau universiti/kolej, antara pihak yang boleh melihat rekod aktiviti anda walaupun menggunakan Private mode.

Fail muat-turun dan Bookmark akan kekal

Jika semasa menggunakan Private mode anda memuat turun sesuatu ke komputer, atau menanda Bookmark laman web tertentu, kedua-dua ini akan kekal walaupun anda sudah menutup pelayar web. Walaupun history dan senarai muat turun sudah tiada, fail tersebut kekal di dalam folder muat turun.

SuperCookies dan EverCookies, dua cookies yang degil

Cookies ialah sedikit maklumat tentang anda dan laman web tertentu, yang disimpan dikomputer anda, jadi apabila anda layari kembali laman web tersebut, data anda masih ada. Sama seperti anda log masuk Facebook, add to cart di laman web jualan dan lain-lain. Apabila anda kembali ke web tersebut, tidak perlu log masuk semula Facebook, produk juga masih ada di Cart.

Pernah anda mencari tentang sesuatu produk di Google atau Lazada, tiba-tiba di Facebook anda iklan produk itu muncul? Antara puncanya ialah cookies.

Melalui private mode, maklumat ini (cookies biasa) akan dibuang sebaik sahaja anda menutup pelayar web.

Menggunakan teknik SuperCookies dan EverCookies, laman web tertentu masih boleh mengenal pasti identiti komputer anda, aktiviti yang anda lakukan, carian anda dan sebagainya melalui cookies yang degil ini.

 

Anda masih terdedah kepada perisian jahat

Jika komputer anda dijangkiti malware, virus atau perisian jahat yang lain seperti keylogger, gunakan private mode tidak akan melindungi anda. Pelbagai perisian jahat ini mampu merakam trafik internet (url dan data lain) semasa anda melayari laman web, guna atau tidak gunakan private mode.

Perisian perlindungan yang kuat diperlukan untuk minimumkan masalah ini.

 

Jika anda mahu privasi semasa melayari internet, cuba baca Apa Itu VPN.

 

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: