Facebook Dituduh Palsukan Data Pengiklanan Video

0

Facebook dituduh memberikan data metrik yang salah kepada para pengiklan yang menggunakan platform mereka untuk lakukan pengiklanan video. Pemalsuan data yang berlaku ini mampu melonjakkan statistik ‘tontonan’ iklan 60-80 peratus lebih tinggi dari data sebenar, mempengaruhi pengiklan untuk belanjakan modal lebih besar untuk iklan video.

Secara purata, data metrik yang diberi Facebook menunjukkan, pengguna menonton iklan video lebih lama daripada purata masa sebenar. Ini memberi impresi yang platform pengiklanan Facebook berkesan, dan pengguna menonton iklan video dalam jangka masa yang lama di Facebook, padahal sebenarnya tidak sebagus itu.

Apa yang berlaku ialah, Facebook hanya mengambil kira tontonan video selama 3 saat dan ke atas sahaja. Tontonan pendek dari itu tidak dikira sebagai tontonan dan diabaikan dalam kiraan metrik.

Sebagai contoh anda sedang menonton video di Facebook dan iklan video muncul 2 saat, anda terus tutup video tersebut kerana tidak berminat dengan iklan. Di sini apa yang berlaku ialah, iklan yang muncul kepada anda tidak dikira dalam purata metrik, jika dikira ia akan menurunkan lagi purata masa tontonan iklan video. Ini bakal memberi impresi negatif kepada keberkesanan iklan tersebut dan reputasi platform pengiklanan video di Facebook juga mungkin terkesan.

 

Facebook mengakui perkara ini berlaku sejak 2016 dan dibaiki selepas disedari pada Ogos lalu. Bagaimanapun agensi pemasaran atas talian Crowd Siren, menuduh Facebook tahu tentang perkara tersebut lebih lama, pada awal 2015 lagi, berdasarkan laporan daripada Bloomberg.

Dalam samannya, Crowd Siren juga menyebut yang Facebook gagal membetulkan segera masalah tersebut selepas menyedarinya dan cuba mengalihkan perhatian umum daripada masalah tersebut. Saman difailkan di sebuah mahkamah  di Oakland, California.

sumber: cnet 1,2, bloomberg

Baca artikel lain berkaitan Facebook.

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: