Apa Itu Keldai Wang – Transit Wang Untuk Penjenayah

0

Keldai Wang? Istilah “Keldai Dadah” sudah biasa kita dengar. Seseorang yang diminta oleh penjenayah untuk membawa barang (dadah) ke suatu tempat kebiasaannya melintas sempadan negara sama ada melalui jalan darat, laut atau udara (kapal terbang). Upahnya pula agak mengujakan dan mengaburi mata sesiapa yang inginkan wang mudah. Rakan penjenayah akan menunggu di lokasi apabila tiba. Tetapi, jika ditahan pihak berkuasa, penjenayah tidak akan muncul untuk menuntut barang tersebut dan mangsa terkontang-kanting menjelaskan pada pihak berkuasa. Besar kemungkinan mangsa boleh disabitkan kesalahan jenayah tersebut.

 

Apa Itu Keldai Wang (Money Mule) ?

Keldai WangDalam situasi Keldai Wang ini, konsep yang hampir sama dengan Keldai Dadah, cuma mangsa tidak ditumpang membawa barang haram, tetapi mangsa atau akaun bank mangsa digunakan untuk menerima dan transit wang haram daripada hasil jenayah, sebelum wang tersebut diserahkan kepada penjenayah.

Ada juga kes di mana mangsa diminta membuat akaun bank dan menyerahkan kad ATM, nombor pin dan juga akses perbankan internet kepada penjenayah dengan upah yang lumayan. Mangsa menganggap tidak apa yang perlu dirisaukan kerana wang yang keluar masuk itu pun bukan miliknya, jadi cukuplah dengan upah yang mahal. Tetapi silap, kerana setiap transaksi wang haram yang berlaku di akaun bank tersebut akan mensabitkan mangsa dengan jenayah kerana akaun bank tersebut atas nama mangsa.

Kenapa penjenayah gunakan Keldai Wang?

Dengan menggunakan Keldai Wang, penjenayah boleh menjadikan mangsa sebagai transit untuk memindahkan wang haram. Dengan cara ini, identiti penjenayah disembunyikan daripada mangsa penipuan dan pihak berkuasa.

Jika pihak berkuasa jalankan siasatan, mangsa keldai wang yang akan dipersalahkan dan disiasat. Untuk menjejaki penjenayah juga menjadi sukar kerana mereka tidak menggunakan akaun dengan nama sendiri.

Daripada mana wang tersebut datang?

Wang yang akan ditransit ke akaun keldai wang boleh berpunca daripada pelbagai sumber antaranya, penipuan atas talian, penipuan belian produk atau servis, penjualan barang atau servis haram, pemindahan atau penggubahan wang haram, pemindahan wang keluar masuk negara, pelbagai penipuan lain.

Antara penipuan terkini yang sedang aktif ialah, mangsa dihubungi oleh penjenayah, berlakon sebagai pihak bank dan polis kononnya mangsa terlibat dalam jenayah dan akaun bank mangsa menerima wang haram. Mangsa diminta memindahkan wang tersebut ke akaun bank tertentu (dikatakan akaun polis, mahkamah, peguam dan sebagainya) untuk siasatan. Selepas siasatan selesai wang akan dipulangkan, tetapi tidak.

Dalam contoh di atas, “akaun bank polis, mahkamah, peguam” itu adalah akaun mangsa keldai wang. Seterusnya keldai wang akan menyerahkan wang tersebut kepada penjenayah atau melalui keldai wang yang lain bagi menyembunyikan lagi jejak penjenayah.

 

Bagaimana penjenayah dapatkan mangsa Akaun Keldai?

Banyak cara yang digunakan penjenayah. Kebanyakannya akan menawarkan upah atau hadiah yang lumayan kepada mangsa. Mangsa akan tertarik dengan tawaran yang diberikan kerana kerja yang mudah, tetapi upah yang tinggi. Antaranya:

  1. Berkenalan dan berkawan dengan mangsa, dan minta bantuan untuk tumpang memindahkan wang ke akaun tertentu.
  2. Tawaran kerja mudah sebagai ejen atau wakil pemindahan wang, menerima dan memindahkan wang dengan upah yang lumayan.
  3. Tawaran kerja online, dilantik untuk mengurus dan menerima wang, membuat bayaran kepada ‘pekerja’ lain atau kepada syarikat pelanggan.
  4. Hubungi mangsa kononnya berlaku kesilapan pindahan wang ke akaun mangsa dan minta dipindahkan semula ke akaun tertentu atau berjumpa untuk keluarkan tunai. Penjenayah juga mungkin menggunakan identiti pegawai bank atau polis untuk mengarah mangsa membuat pindahan wang.
  5. Membeli produk atau servis daripada mangsa, membuat ‘kesilapan’ dengan membayar dengan jumlah yang besar dan meminta untuk pulangkan baki yang tersilap ke akaun tertentu.
  6. Dan banyak lagi…

Bagaimana mengelakkan diri daripada menjadi Keldai Wang?

Penjenayah akan sentiasa datang dengan cara baru bagi memerangkap mangsa. Jadi sentiasa peka berita dan maklumat terkini.

  1. Jangan dedahkan maklumat bank dan maklumat peribadi lain.
  2. Jangan menerima tawaran untuk bantu pindahkan wang ke akaun tertentu.
  3. Jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor pin dan akses perbankan internet anda kepada pihak lain.
  4. Jika ada jumlah tertentu dimasukkan ke akaun bank tanpa anda tahu daripada mana, segera hubungi pihak bank untuk semakan.
  5. Jika ada pihak hubungi anda katakan berlaku kesilapan pindahan wang, dan minta anda lakukan pindahan balik, jangan lakukan. Segera hubungi pihak bank. Walaupun dia mengaku dia daripada bank tersebut, elakkan dan  hubungi nombor bank yang betul atau terus pergi ke cawangan bank tersebut.
  6. Jangan panik jika pihak ‘bank, polis, peguam’ dan lain-lain hubungi anda dan minta lakukan pindahan wang, langkah awal, kata anda ingin tamatkan panggilan dan buat semakan dengan bank atau polis di cawangan, penjenayah biasanya berkeras untuk anda segera lakukan pindahan. Selepas tamatkan panggilan, terus hubungi bank anda melalui nombor yang betul untuk semakan atau terus ke cawangan bank.
  7. Jangan abaikan mesej-mesej penting daripada pihak bank yang dipaparkan ketika menggunakan ATM dan perbankan internet.
  8. Paling penting, jangan mudah terliur dan termakan tawaran-tawaran mewah dan hadiah istimewa daripada individu tertentu hingga menyebabkan anda mengabaikan amaran-amaran yang disebutkan di atas.
  9. Tambahan: Jangan gunakan Wifi ditempat awam untuk transaksi wang atau masukkan login/password ke akaun online.

Mengesyaki sesuatu? Anda mungkin mangsa?

  1. Segera ke cawangan bank untuk disemak. Biar tindakan dilakukan oleh pihak bank sendiri.
  2. Jika berlaku kecurian/kehilangan barang peribadi seperti dompet dan telefon bimbit, jangan abaikan. Segera tutup akses penting seperti kat kredit/debit.
  3. Jika individu tertentu menghubungi anda untuk melakukan pindahan wang yang tidak diketahui, laporkan kepada pihak bank dan pihak polis.

Jangan lupa kongsikan artikel ini untuk tingkatkan kesedaran lebih ramai individu dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan Keldai Wang

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: