Komputer Dirampas, Akan Didenda Dan Didakwa Kerana Perisian Cetak Rompak

0

KEMAMAN 3 Okt. – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas dua perisian cetak rompak komputer bernilai lebih RM316,000 dalam serbuan di sebuah syarikat berasaskan minyak dan gas di Kerteh dekat sini semalam.

Turut dirampas dua unit komputer riba yang telah dimasukkan perisian berkenaan yang dipercayai digunakan syarikat terbabit bagi tujuan merekacipta laluan saluran paip minyak dan gas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfahmy Mat Udi memberitahu, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.30 petang semalam setelah pihaknya menerima aduan mengenai syarikat terbabit yang dipercayai menggunakan salinan perisian langgaran.

“Sehubungan itu pihak kami telah melakukan siasatan bagi mengumpul maklumat lanjut mengenai penggunaan perisian tersebut oleh syarikat terbabit sebelum serbuan dilakukan.

“Syarikat berkenaan akan didakwa di bawah seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 kerana kesalahan menggunakan dua salinan perisian langgaran, “ katanya.

ZULFAHMY MAT UDI (tengah) menunjukan salinan perisian cetak rompak dan komputer yang dirampas dari sebuah syarikat dalam sidang akhbar di Kemaman hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Cawangan Kemaman di sini petang tadi.

Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Zulfahmy juga berkata, bagi kesalahan kedua pula syarikat terbabit boleh didenda antara RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap perisian langgaran dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan semua peniaga dan pengguna supaya tidak menggunakan perisian cetak rompak di samping memastikan setiap perisian digunakan adalah tulen dan berdaftar bagi mengelakkan risiko serangan siber di samping berdepan tindakan undang-undang.

artikel: utusan

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: