Menyamar Sebagai Kemaskini Adobe Flash, Perisian Hasad Baru Melombong Wang Kripto

0

Flash sangat popular ketika dahulu untuk membuat animasi, permainan dan aplikasi interaktif yang boleh dimainkan di pelayar web. Ia telah dihentikan pembangunan oleh Adobe kerana pelbagai masalah termasuklah ketidak-sesuaian pemalam untuk pelayar web berlainan, dan kerap menjadi medium serangan sebaran virus kerana kerentanannya yang tidak pernah habis.

Walaupun teknologi Flash sudah lama ditinggalkan dan semakin mati (atau sudah mati), masih ada pencipta perisian hasad (malware) menggunakannya sebagai medium untuk memerangkap mangsa.

Teknik menyebarkan virus dan perisian hasad menggunakan samaran sebagai kemaskini perisian juga bukanlah baru, sudah banyak kali kita lihat.

Tetapi penemuan baru oleh pihak Palo Alto Networks mendapati peningkatan mendadak kemaskini perisian palsu pemalam Adobe Flash, yang mengandungi perisian hasad untuk melombong wang kripto. 

Untuk mengelakkan curiga, ia betul-betul akan memasang pemalam Flash ke dalam komputer pengguna. Ini membuatkan pengguna fikir yang perisian itu memang sah.

Selepas pemasangan, ia secara senyap memasukkan perisian melombong kripto wang dipanggil XMRig, menumpang CPU dan kad krafik komputer tersebut untuk melombong.

Pengguna tidak akan menyedari apa-apa cuma akan merasa komputer semakin lama perlahan, hang, dan mungkin akan menjadi panas berlebihan.

Tingkatkan kepekaan, jangan mudah klik pada popup, email tidak dikenali atau iklan di laman web yang dilayari. Perlindungan untuk komputer anda juga sangatlah penting daripada serangan virus dan perisian hasad. Pastikan juga sistem sentiasa dikemaskini.

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: