Pakar IT Sahkan Data Undi 5 Cabang PKR Hilang

0

SHAH ALAM: Lima pakar teknologi maklumat (IT) mengesahkan data undian di lima cabang PKR Melaka hilang, sekali gus menolak dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menyorok atau memanipulasi data berkenaan.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, berkata disebabkan oleh pelbagai persepsi timbul selepas pihaknya mengeluarkan kenyataan bahawa data berkenaan hilang, pihaknya membuat keputusan untuk memanggil pakar IT bagi mencari data berkenaan.

keadilan

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Keadilan, Datuk Rashid Din. – Foto Zunnur Al Shafiq

“Kita memanggil lima pakar IT iaitu seorang daripada Institut Darul Ehsan (IDE), seorang wakil dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang pakar daripada Ukraine, seorang pakar mewakili Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan seorang pakar mewakili Rafizi Ramli.

“Selepas 30 minit membuka program berkenaan, mereka sepakat mengakui bahawa data berkenaan memang tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IDE, di sini.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan membawa penemuan berkenaan ke peringkat pusat dan berbincang sama ada pengundian semula akan dilakukan secara keseluruhan atau hanya pengundi yang terbabit sahaja.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak punca kehilangan kira-kira 2,000 undi itu adalah disebabkan talian internet yang lemah dan tidak stabil.

“Apabila talian internet lemah dan tidak stabil, data undian tidak dapat ditolak ke stor penyimpanan (cloud).

“Justeru, untuk mengelakkan perkara ini berlaku lagi, pengaturcara kami akan membuat simpanan salinan terus (direct duplicate storage) untuk memastikan setiap data undian tidak hilang,” katanya.

Sabtu lalu, sebanyak 2,000 undi yang dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima daripada enam cabang PKR Melaka yang baharu selesai menjalankan pemilihannya.

Dilaporkan, kehilangan kira-kira 60 peratus undian yang dibuat melalui sistem e-undi itu agak mengejutkan sehingga gagal untuk memuktamadkan keputusan rasmi pemilihan parti di negeri berkenaan.

artikel: bharian

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: