Penumpang Pesawat Guna Telefon Ditahan Polis China

0

Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) melaporkan bahawa, dari 5 Januari sehingga 6 Februari, polis Beijing telah menahan 3 orang penumpang pesawat yang menggunakan telefon semasa penerbangan.

Zhang, ditahan selama 5 hari ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada petang 5 Januari. Dia dikatakan berdegil tidak mahu memadamkan telefonnya semasa berlepas dan terus menggunakan telefon untuk membuat panggilan semasa penerbangan. Semasa ditahan juga dia tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Penumpang kedua, Niu, ditahan selama 3 hari. Dia ditahan selepas mendarat pada petang 5 Februari.

Penumpang ketiga pula, Wang, ditahan kerana mendengar muzik menggunakan telefon semasa berlepas dan mendarat. Wang, ditahan 5 hari ketika mendarat di Beijing.

Menurut peraturan keselamatan udara China, penggunaan telefon bimbit dan sebarang alat telekomunikasi semasa penerbangan boleh mengancam keselamatan orang ramai. Jika terbukti bersalah individu terbabit boleh ditahan sehingga 5 hari. Untuk kesalahan serius, penumpang boleh didenda sehingga 50,000 yuan (RM32,000) dan mungkin disabitkan kesalahan jenayah.

Sumber : china.org.cn

Apa Pandangan Anda?
Kongsi artikel ini: